Semangat kemerdekaan....

Aku terbaca artikel tabloid suluh rakyat, lidah rasmi PKMRM kisah wawancara wartawan Suluh Rakyat dengan Rashid Maidin. Sebenarnya nama ini aku pernah dengar masa aku masih ingusan dulu. Katanya, dia digempur pihak polis namun tidak ditembak kerana kelihatan di sedang menunaikan solat di atas dahan pokok besar. Seusai solat, beliau dihujani peluru namun yang berguguran hanyalah dedaunan. Orangnya lenyap begitu sahaja. Cerita itu lahir dari mulut Abang Ajemi cucu Mbah Sami. Ia diceritakan secara sembunyi dan senyap-senyap dan mestilah dirahsiakan. Aku sebenarnya bukan dari kelompok mereka untuk dibenarkan mendengar namun aku dilabelkan sebagai budak yang tak faham maka aku dibiarkan mendengarkan kisah ini. Cerita kesaktian dan kehebatan ilmu Rashid Maidin ini semakin hari semakin terhakis dari hati ini. Namun dewasa ini aku dibangunkan kembali dengan kisah perjuangan ini dan semakin nampak akan kebenarannya... selain dari berbicara sendiri dengan orang dari sungai manik sendiri aku semakin meremang dengan semangat ini... semangat membebaskan diri dari pemikiran penjajah.

Kuselitkan disini puisi Dr Burhanuddin

Di atas robohan Kota Melaka
Kita dirikan jiwa merdeka
Bersatu padulah segenap baka
Membela hak keadilan pusaka.
  • Dr. Burhanuddin Al-Helmy


Sebenarnya setiap cerita yang kita dengar, pandang, baca, lihat dan faham, masih ada kisah yang tersirat disebaliknya. Disitulah baru aku faham mengapa perlu ada nahu dan sorof dalam mempelajari bahasa Arab. Begitu jugalah Nahwan, Rast, Bayati dan Jiharkah lagu Tarannum dalam membaca Quran.
Ada ayat peringatan dan ada tegahan dan cara mengkhabarkan berita gembira dan sedih atau suka sememangnya berbeza.

Itulah cerita yang sering menggebu di minda kita. Ianya adalah satu propaganda yang sering dilagukan oleh mereka yang berkepentingan. Pernah tak layan movie  Braveheart tentang perjuangan kemerdekaan Scotland oleh Bruce (seorang bangsawan) setelah penat dipermainkan oleh pihak bangsawan yang bermain politik dengan penjajah British. Yang menjadi mangsa adalah William Wallace, pejuang yang lahir dari kaum tani. Walaupun namanya tidak nampak sebagai pejuang pembebasan Scotland namun dia sebenarnya wira penyumbang kepada gagasan tersebut.

Rashid Maidin, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Mat Kilau dan sebagainya bukanlah penjenayah, mereka bukan pemberontak, mereka bukan kumpulan militan dan sebagainya seperti yang dilabelkan oleh pihak yang berkepentingan. Merekalah sebenarnya pejuang bangsa. pahlawan negara dan juga wira pertiwi. Jika yang ditentang adalah polis melayu yang bekerja makan gaji dengan penjajah.... tidak semestinya mereka ini dilabel penjahat manakala polis yang makan gaji dengan penjajah diberikan bintang darjah kebesaran.
Inilah dia kisah di sebalik cerita..... bagaimana British berupaya menakluk sebagaian besar dari dunia. Tidak selalunya guna kekuatan diri namun mencari kelemahan musuh, lalu dilagakan sesama mereka.

Layanilah karya Usman Awang ini buat mereka:

Jika hilangmu tanpa pusara
Jika pusaramu tanpa nama
Jika pusaramu tanpa bunga
Mereka mengatakan kau penderhaka
Engkau tetap pahlawan
Sungai Pahang berubah merah
Rumput tebingnya segala musnah
Satu satu pahlawan rebah
Arus merahnya menjulang mayat
Pahlawan bangsa pahlawan rakyat
Tujuh liang dadanya tersayat.
Usman Awang



As-Syahid Haji Hassan (Tok Janggut)





Bacalah waancara dengan Saudara Rashid Maidin di tahun 1989 dahulu:



Bapak Rashid Maidin adalah seorang pejuang kemerdekaan ulung yang berasal daripada kaum buruh. Pada akhir tahun 1930-an, beliau melibatkan diri dalam perjuangan menentang penjajah British, dan kemudian, fasis Jepun demi kemerdekaan tanah air dan pembebasan rakyat. Pada tahun 1955, beliau telah ikut serta dalam Rundingan Baling yang berlangsung antara Parti Komunis Malaya (PKM) dengan kerajaan berperintahan sendiri Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura. Hari ini, beliau tetap dengan gigih berjuang demi kebebasan, demokrasi, keadilan masyarakat serta perdamaian dalam negeri yang diidam-idamkan rakyat tanah air kita.


Soalan: Bilakah Bapak dilahirkan?
Rashid Maidin: Saya dilahirkan pada bulan Oktober tahun 1917.

Soalan: Kalau begitu, Bapak lebih tua daripada Bapak Abdullah C.D.
Rashid Maidin: Ya, Abdullah C.D. atau Cik Dat enam tahun lebih muda daripada saya. Beliau dan saya adalah rakan seperjuangan yang paling akrab sejak akhir Perang Anti-Jepun hingga sekarang.

Soalan: Apakah rahsia kesihatan Bapak? Daripada wajah Bapak, Bapak kelihatan belasan tahun lebih muda. Bolehkah Bapak ceritakan secara terperinci untuk pengetahuan generasi muda?
Rashid Maidin: (ketawa) Sebenarnya, tak ada sebarang rahsia. Menurut pengalaman saya, pertama-tama, kita mesti mempunyai semangat yang optimis untuk menjayakan cita-cita hidup kita berjuang untuk rakyat dan tanah air. Ini paling penting. Selain itu, saya sentiasa amalkan latihan gerak badan, bersukan, termasuk berjalan kaki dan latihan taichi qigong. Tambahan pula, alam sekeliling di hutan rimba yang hijau ini begitu menyegarkan. Udaranya bersih dan nyaman, tak ada hingar-bingar dan debu-debu, seperti di kota.

Soalan: Kami juga dapat tahu Bapak seorang penggemar muzik.
Rashid Maidin: Ya, muzik, khasnya muzik asli, memang saya minati sejak kecil lagi.

Soalan: Ada orang mengatakan Bapak seorang penggesek biola.
Rashid Maidin: (ketawa) Oh, itu indah khabar dari rupa. Saya sudah lama gantung biola saya.

Soalan: Seperti tercatat dalam sejarah, Bapak salah seorang anggota perwakilan Parti Komunis Malaya dalam Rundingan Baling pada bulan Disember 1955.
Rashid Maidin: Ya, kami bertiga, iaitu Chen Ping, Chen Tien dan saya, telah menghadiri perundingan tersebut bagi pihak PKM.

Soalan: Apakah tujuan perundingan itu?
Rashid Maidin: Tujuannya adalah untuk mencari jalan bagi mencapai kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajah British serta menamatkan perang yang dilancarkan penjajah British yang bermula pada 20 Jun 1948.

Soalan: Bagaimanakah sikap orang ramai pada masa itu terhadap perwakilan PKM?
Rashid Maidin: Orang ramai sangat menginginkan kemerdekaan. Apabila rombongan kami keluar dari hutan di Kelian Intan dan dibawa dengan kereta ke Baling, di sepanjang jalan, orang ramai tak putus-putus mengalu-alukan kami. Di Baling, puluhan ribu massa rakyat menunggu ketibaan kami dan menyambut kami dengan pekikan “Merdeka”. Tempat penginapan kami di Baling dipagari kerawat berduri dan orang ramai tak dibenarkan masuk. Jadi, mereka berasak-asak di luar, ingin melihat kami dan bersalaman dengan kami. Kami juga dengar mereka panggil nama kami. Pendek kata, orang ramai, baik Melayu mahupun bukan Melayu, menganggap kami sebagai pejuang kemerdekaan. Suasana hangat itu begitu mengesankan dalam ingatan saya sampailah ke hari ini.

Soalan: Bagaimanakah sikap perwakilan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu masa itu?
Rashid Maidin: Perwakilan mereka disertai oleh Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock, David Marshall dan juga Abdul Hamid Jumat. Sungguhpun perundingan itu perundingan damai, malangnya sikap mereka sangat keras, bahkan bermusuhan. Kami diberi kata dua, iaitu sama ada menyerah diri atau dihapuskan. Kami tentu tidak boleh terima kata dua sedemikian.

Soalan: Apakah sikap PKM dalam perundingan itu?
Rashid Maidin: PKM mahu menamatkan perang, tapi biarlah dengan syarat adil dan munasabah. PKM menegaskan soal menyerah diri tidak timbul kerana kami bukan pengganas, tapi pejuang kemerdekaan. Yang kami lawan bukan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, tapi pemerintah penjajah British. PKM juga menyokong rombongan Tunku pergi ke London berunding dengan British untuk kemerdekaan. Tunku mengakui peranan penting perang gerila yang kami lancarkan dalam mencapai kemerdekaan Malaya, dan beliau berjanji untuk menemui kami lagi setelah kembali dari London. Sayangnya, ini tidak berlaku. Sebaliknya, Kerajaan Tunku menerima syarat-syarat penjajah British dan meneruskan perang warisan penjajah itu ke atas kami.

Soalan: Apakah ini sebab utama perang itu berubah menjadi perang dalam negeri?
Rashid Maidin: Ya.

Soalan: Berbalik kepada latar belakang Bapak, bolehkah Bapak ceritakan sedikit tentang keluarga Bapak?
Rashid Maidin: Saya lahir dalam keluarga miskin di Kampung Gunung Mesah, Gopeng, Perak. Datuk dan nenek saya berasal dari Rawa, Sumatera. Mereka berhijrah ke Perak pada akhir abad ke-19. Adik-beradik saya lapan orang, tujuh lelaki dan satu perempuan. Saya anak yang paling tua.

Soalan: Benarkah Yang Berhormat Encik Yusuf Maidin, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Perak bagi kawasan Sungai Manik, itu adik Bapak?
Rashid Maidin: Benar. Ketika dia di sekolah vokesyenal, saya membantu belanja persekolahannya.

Soalan: Bagaimanakah persekolahan Bapak sendiri?
Rashid Maidin: Saya belajar di Sekolah Melayu Gunung Panjang, Gopeng, dan lulus darjah 5. Pada sebelah petang, saya belajar agama di madrasah Kampung Gunung Mesah. Kerana ibu bapa saya miskin, lepas tamat sekolah Melayu pada tahun 1928, saya pun terpaksa mencari kerja.

Soalan: Tapi Bapak boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Bilakah Bapak belajar?
Rashid Maidin: Boleh sikit-sikit. Sebenarnya, walaupun terpaksa berhenti sekolah, tapi minat untuk terus belajar tetap mendalam. Ketika berumur 12 tahun, saya ke Tapah bekerja dengan bapa saudara saya. Sambil bekerja, saya belajar bahasa Inggeris waktu malam dengan seorang mubaligh yang menyebar agama Kristian di kalangan Orang Asli. Dengan bantuannya, saya juga ambil kursus gaya pos dengan sebuah sekolah di Jakarta. Kemudian, pada tahun 1938, ketika saya bekerja di Kampar, saya teruskan lagi belajar Inggeris di sekolah malam selama hampir dua tahun lagi. Selain itu, saya tambah dengan belajar sendiri.

Soalan: Bapak pernah menjadi buruh mahir. Benarkah?
Rashid Maidin: Benar. Masa di Tapah, ketika berumur 16 tahun, saya menjadi magang di stesyen janakuasa elektrik milik Perancis. Lepas setahun, saya lulus dengan memperoleh Sijil Kelas 2 dan dibayar upah $30 sebulan. Kemudian, saya bekerja pula di Kampar dengan Talam Mines Company Limited. Di sana, pada tahun 1938, saya ambil ujian Electrical Chargeman dan dapat Sijil Kelas 1. Saya pun dibayar upah $60 sebulan, manakala buruh biasa mendapat upah 75 sen sehari. Upah saya lebih sedikit kerana saya ada sijil dan tahu bahasa Inggeris.

Soalan: Bolehkah Bapak ceritakan sedikit bagaimana Bapak mula terlibat dalam politik?
Rashid Maidin: Sebagai anak Perak, semangat anti-British memang sudah tersemai kerana pengaruh Perang Maharajalela. Pengaruh ini meresapi diri saya sejak kecil lagi. Setelah bersekolah, saya pun ada membaca buku-buku tentang perang ini. Saya menceburkan diri dalam kegiatan berorganisasi mulai tahun 1937, iaitu dengan menjadi anggota Persatuan Drebar-Drebar Melayu Perak. Pada tahun 1939, ketika bekerja di Tanjung Tualang, saya menjadi ahli kesatuan sekerja Kinta Mining Workers Association. Di situlah, saya mendapat didikan secara langsung daripada seorang kader bawah tanah PKM yang bernama Lai Raifel atau Lai Fook yang bekerja sebagai buruh bersama saya. Melaluinya, saya dapat membaca pelbagai jenis buku politik. Kesedaran kelas saya beransur-ansur meningkat, dan saya diterima menjadi anggota PKM pada penghujung tahun 1941. Raifel dan saya juga berusaha untuk menyusun kaum buruh Melayu dalam kesatuan sekerja, tapi usaha ini terhenti apabila meletusnya perang.

Soalan: Apakah kegiatan Bapak semasa Jepun menduduki Malaya?
Rashid Maidin: Semasa pendudukan Jepun, saya terus bekerja di lombong kapal korek Tanjung Tualang, yang telah beralih ke tangan Jepun. Terhadap fasis Jepun, saya ambil sikap talam dan muka. Secara rahsia, saya buat kerja propaganda di kalangan kaum buruh, mendedahkan kezaliman fasis Jepun serta mendidik kaum buruh tentang perjuangan kelas dan Parti Komunis. Kegiatan itu bertujuan berkoordinasi dengan perang gerila yang dilancarkan oleh Tentera Anti-Jepun. Untuk memperbaiki kehidupan kaum buruh, yang sangat buruk waktu itu, kami membuat pakatan mengambil bijih di lombong waktu tengah malam dan menjualnya kepada pemborong gelap. Ini dapat menambah pendapatan kaum buruh sekali ganda.

Soalan: Bolehkah Bapak terangkan sedikit keadaan setelah Jepun menyerah diri?
Rashid Maidin: Masalah pokok masa itu bagi orang ramai ialah kelaparan. Untuk mengatasi masalah ini, PKM telah melancarkan gerakan menentang kelaparan yang diikut serta oleh berpuluh ribu orang ramai. PKM mengemukakan beberapa tuntutan kepada British: (1) Beri wang $10 seorang untuk menggantikan wang Jepun yang sudah tidak laku lagi; (2) Segera beri kerja kepada kaum penganggur; (3) Ubati orang sakit; (4) Segera hantar makanan ke Malaya dan berikannya kepada orang ramai. Saya campur gerakan ini di Ipoh. Di sana, di bawah anjuran Parti, kami mengadakan kegiatan masak nasi kawah untuk orang ramai yang lapar. Ini dapat membantu masalah orang ramai dalam batas tertentu, tapi British sangat marah. Mereka menghantar seorang pegawai tinggi dari Kuala Lumpur ke sana untuk mengugut kami. Kata pegawai itu, dia datang tidak membawa makanan, tapi bawa senapang dan meriam. Kebiadaban British ini mengobarkan lagi gerakan anti-kelaparan yang terus menjalar ke lain-lain tempat.

Soalan: Bolehkah Bapak ceritakan sedikit hubungan Bapak dengan Bapak Abdullah C.D.?
Rashid Maidin: Masa pendudukan Jepun, Abdullah C.D. masuk pasukan gerila. Saya berkenalan dengannya pada penghujung perang anti-Jepun apabila beliau keluar dari hutan. Kemudian, setelah Jepun kalah, kami bersama-sama bekerja dalam pasukan propaganda PKM yang beribu pejabat di Ipoh. (Pasukan propaganda itu diketuai oleh Eng Min Chin, sebelum beliau mendirikan rumah tangga dengan Abdullah C.D. lebih 45 tahun yang lalu. Beliau memeluk agama Islam; nama Islamnya Suriani binti Abdullah.) Waktu itu, kerana komplotan Jepun dan British, timbul situasi pergaduhan kaum antara Melayu dan Cina. Kami berdua ditugaskan bergerak ke merata tempat untuk mendamaikan pergaduhan tersebut. Pada tahun 1946, kami berdua ditugaskan pula ke Kuala Lumpur untuk mengembangkan kerja Melayu di kalangan pelbagai lapisan masyarakat, khasnya kaum buruh. Selain itu, kami juga bekerja di akhbar Pelita Malaya dan Suluh Malaya. Di Kuala Lumpur, kami tinggal bersama di sebuah rumah sewa. Ke mana-mana saja kami pergi, kami sering bersama.

Soalan: Kami tahu Bapak pernah ke London selepas perang.
Rashid Maidin: Ya, saya ikut serta dalam rombongan tiga orang mewakili PKM menghadiri persidangan parti-parti komunis empayar British pada tahun 1947 di London. Persidangan ini dihadiri oleh wakil parti komunis dari tanah jajahan dan bekas tanah jajahan British seperti Burma, Ceylon (Sri Lanka), India, Australia, Kanada, Kuba serta negeri-negeri Timur Tengah. Persidangan itu membahas masalah gerakan pembebasan dan mengeluarkan perisytiharan menuntut kemerdekaan bagi tanah-tanah jajahan.

Soalan: Ada apa-apa peristiwa menarik di persidangan itu?
Rashid Maidin: Ada beberapa peristiwa sampingan yang boleh saya sebut di sini. Pertama, dalam perjalanan ke London, kami singgah di India selama dua hari sebagai tamu Parti Komunis India, yang ketika itu dipimpin oleh P.O. Joshi. Di London pula, rombongan kami diberi penghormatan tinggi sebagai pahlawan anti-Jepun oleh persidangan itu. Kami juga dapat berkenalan dengan pemimpin parti-parti sekawan dari pelbagai negeri. Sampai sekarang, kami masih berkirim salam dan bertanya khabar.
Selain itu, ketika di London, dengan tak disangka-sangka, Tunku Abdul Rahman, yang sedang belajar undang-undang di England, telah mengutus surat kepada rombongan kami. Antara kandungan surat itu, Tunku meminta maaf kerana tidak dapat hadir sebagai pemerhati di persidangan parti-parti komunis itu. Beliau juga menyatakan harapan agar sidang itu memperoleh kejayaan. Bekas Residen British di Selangor pula menulis surat kepada saya meminta saya melapangkan masa untuk menemuinya. Mungkin, bagi British pada masa itu, kenyataan bahawa orang Melayu mencampuri gerakan Parti Komunis adalah satu hal yang besar.

Soalan: Apakah tanggapan Bapak terhadap peristiwa itu?
Rashid Maidin: Saya rasa ini menunjukkan PKM dihormati oleh pelbagai pihak di dalam dan di luar negeri.

Soalan: Bagaimanakah sambutan orang ramai, khasnya orang Melayu, terhadap PKM waktu itu?
Rashid Maidin: Sambutan orang ramai memang baik. Saya beri satu contoh. Setelah berdirinya PKMM, saya mula berkenalan dan bekerjasama dengan tokoh Melayu lainnya seperti Dr. Burhanuddin, Ahmad Boestamam dan Pak Sako. Sekembalinya kami dari London, saya bersama Dr. Burhanuddin, yang juga baru pulang daripada Persidangan Se-Asia di New Delhi, telah menjelajah ke seluruh pelosok tanah air untuk menerangkan perjuangan anti-penjajah – saya atas nama PKM, dan beliau atas nama PKMM. Kami mulakan lawatan kami dari Melaka terus hingga ke Perlis, kemudian berputar dan pergi lagi sampai ke Kelantan. Rapat umum yang kami adakan dihadiri oleh puluhan ribu orang. Di setiap negeri yang kami kunjungi, kami diberi sambutan yang luar biasa hangatnya oleh orang Melayu dan kaum lain.

Soalan: Kami difahamkan Bapak pernah ditangkap penjajah British dan dipenjarakan. Bagaimanakah hal sebenarnya?
Rashid Maidin: Saya ditangkap kira-kira sebulan selepas Darurat diisytiharkan, iaitu pada bulan Julai 1948 di Labu Kubung, Sungai Manik, Perak. Mula-mula, saya dipenjarakan di Taiping selama enam bulan. Selepas itu, saya, bersama-sama kira-kira 50 orang tahanan lain, termasuk Ustaz Abubakar Al-Bakir, Cikgu Sabrun dan lain-lain anggota PKMM, digiring ke Pulau Jerejak. Dari Taiping ke Pulau Jerejak, kami digari beramai-ramai, 10 hingga 12 orang dengan seutas rantai panjang. Di kem tahanan Pulau Jerejak, ada kira-kira 500 orang tahanan pelbagai kaum. Di sana, kami tubuhkan jawatankuasa mogok menentang peraturan penjajah British yang tidak membenarkan kami beli barang makanan dari luar atau terimanya dari rumah.


Soalan: Apakah tuduhan yang dikenakan ke atas Bapak?
Rashid Maidin: Saya dituduh sebagai komunis. Ramai pak haji, ustaz, guru dan lain-lain semuanya dituduh sebagai komunis. Ketua Intelijen British yang menyoal siasat saya mengatakan saya akan ditahan bertahun-tahun. Saya tanya: “Sebab apa dan apa buktinya?” Dia membuka fail catatannya dan memetik ucapan-ucapan saya dalam rapat umum di mana saya pernah berkata: “Selagi ada penjajah British di Malaya, kita akan berjuang terus.”
Setelah satu setengah tahun di Pulau Jerejak, saya dibawa pula ke Pulau Tanjung Beruas, Melaka. Penjara Tanjung Beruas lebih besar, mengandungi 1000 orang lebih tahanan, yang ditempatkan dalam blok-blok. Bagi satu-satu blok, terdapat 200 hingga 300 orang. Saya dimasukkan dalam Blok K bersama Cik Muda dari Terengganu, Cikgu Hamid dari Kelantan, Ustaz Yahya Nasim dari Selangor dan lain-lain anggota PKMM. Saya dipilih oleh kawan-kawan sebagai “Presiden Blok K”. Pak Sako dan Boestamam juga dipenjarakan di Tanjung Beruas, tapi ditempatkan dalam blok yang lain. Saya acap kali berjumpa dan berbincang dengan mereka di penjara itu.

Soalan: Bagaimanakah keadaan di penjara Tanjung Beruas?
Rashid Maidin: Pada mulanya, keadaan di sana lebih buruk daripada Pulau Jerejak. Misalnya, kami dipaksa angkut najis sendiri setiap pagi dan cuci jamban. Ini benar-benar menyebabkan kami marah. Setelah seminggu di sana, saya dan kawan-kawan bentuk satu jawatankuasa untuk melancarkan mogok lapar. Tuntutan kami ialah: (1) Berhentikan angkut najis sendiri, (2) Benarkan kami dirikan madrasah. Setelah tiga hari mogok, penjajah British mengalah dan menerima tuntutan kami. Selain itu, kami juga diberi kemudahan lain, termasuk bermain badminton waktu malam serta dapat membaca akhbar Straits Times. Tapi akhbar Utusan Melayu tidak dibenarkan.


Soalan: Kami dapat tahu Bapak dapat lepaskan diri daripada penjara itu. Ini benar-benar satu keajaiban!
Rashid Maidin: (ketawa) Bukan, ini bukan satu keajaiban. Sebenarnya, setelah dua tahun di Tanjung Beruas, muncul satu perkembangan baru. Kerana ekonomi British merosot akibat perang yang dilancarkannya terhadap Parti Komunis Malaya dan Tentera Pembebasan Nasional Malaya, ia pun menggunakan tahanan seperti kami menjadi buruh murah untuk membangun balai polis dan lain-lain. Dari Tanjung Beruas, 12 orang tahanan, termasuk saya, telah dipilih menjadi buruh untuk membangun sebuah balai polis di Caruk Batang, Jasin, Melaka. Kami diberi upah $1 sehari dan tinggal di berek polis yang dipagari kerawat berduri. Kerana saya mahir dengan soal elektrik, jurutera binaan di situ banyak bersandar pada saya. Pelan bangunan balai polis yang hendak dibina itu pun diserahkan kepada saya, manakala dia sendiri kadang-kadang datang, kadang-kadang tidak.
Yang menjaga kami ialah beberapa orang polis Melayu, dengan diketuai oleh seorang sarjan yang telah bersara, bernama Pak Mi. Kami bernasib baik kerana Pak Mi benar-benar tak puas hati terhadap penjajah British, yang memaksanya berkhidmat semula dalam polis. Sebelum Darurat, Pak Mi pula pernah campur rapat umum dan kenal dengan saya. Dia memberitahu saya, tugasnya hanya menjaga “kerbau balar” (maksudnya orang putih), bukannya untuk menjaga tahanan. Pak Mi rapat dengan saya. Apabila makan tengah hari, dia dan polis lain makan bersama kami. Dia selalu bawa Utusan Melayu dan meminjamkannya kepada saya.
Di tepi tempat kami bekerja, ada sebuah kedai kopi orang Cina. Juga ada seorang budak Cina berumur 12 tahun menjaga lembu di situ. Melalui budak itu, saya mendapat hubungan dengan pasukan gerila kami di Melaka. Apabila perjanjian dengan kawan-kawan pasukan gerila sudah matang, saya bersama seorang tahanan lain, seorang pemuda bernama Yusuf dari Johor, membuat rancangan untuk melarikan diri semasa bekerja dan masuk hutan. Suatu hari, ketika makan tengah hari, saya dan Yusuf pura-pura sakit perut dan minta izin ke jamban. Kami dibenarkan pergi ke jamban tanpa dikawal. Mengambil kesempatan itu, kami pun terus lari ke hutan di mana bendera merah pasukan gerila, yang merupakan isyarat kami, sedang berkibar-kibar.

Soalan: Bagaimanakah Bapak dapat bergabung dengan pasukan Rejimen ke-10?
Rashid Maidin: Saya melarikan diri pada awal tahun1952 setelah kira-kira tiga setengah tahun dalam penjara. Setelah bergabung dengan pasukan gerila, saya dibawa dari satu tempat ke satu tempat untuk bertemu dengan Jawatankuasa Pusat PKM dan Rejimen ke-10. Perjalanan dari Melaka ke pangkalan Rejimen ke-10 di Pahang memakan masa hampir setahun melalui hutan. Setelah sampai di Kerdau, Pahang, pada akhir tahun1952, barulah saya bertemu semula dengan Abdullah C.D.. Sejak itu, saya terus berjuang di Rejimen ke-10.

Soalan: Apakah peranan Bapak dalam PKM dan Rejimen ke-10?
Rashid Maidin: Dalam PKM, saya menjadi salah seorang anggota Jawatankuasa Pusat. Di Rejimen Ke-10, saya bersama Abdullah C.D. dan pemimpin lain memimpin pasukan ini melancarkan perjuangan, baik semasa di Malaya, mahupun di sempadan. Saya pernah luka di kaki dalam pertempuran melawan penjajah British.

Soalan: Apakah Bapak pernah bertugas di pasukan lain selain daripada Rejimen ke-10?
Rashid Maidin: Oh ya, untuk satu masa kira-kira selama 10 tahun, saya bersama-sama memimpin Pasukan Kawasan Khas. Kemudian, pada tahun 1972, saya balik semula ke Rejimen ke-10.

Soalan: Apakah pendapat Bapak tentang peranan perjuangan bersenjata serta perjuangan rakyat tanah air kita dewasa ini?
Rashid Maidin: Kebanyakan masalah ini serta dasar-dasar PKM berhubung dengannya sudah pun dijelaskan oleh Pengerusi kami, Abdullah C.D., dalam temu bualnya. Jadi, saya tak akan mengulanginya di sini. Cuma satu perkara saja ingin saya tegaskan, iaitu masalah perang dalam negeri dan perdamaian. Parti Komunis Malaya bukan sebuah parti yang haus perang, bahkan merupakan sebuah parti yang cintakan perdamaian. Rakyat juga cintakan perdamaian. Sebab itulah, kami pergi ke Baling dulu. Kami bersedia menamatkan perang dalam negeri dengan syarat yang adil dan munasabah. Kami bersedia berjuang bersama-sama parti politik lainnya secara damai dan demokratik untuk sama-sama membangun tanahair kita menjadi sebuah negara yang demokratik politiknya, makmur ekonominya, maju kebudayaannya, serta bersatu bangsanya.

Soalan: Bapak adalah seorang pejuang yang besar bagi tanah air dan bangsa kita yang telah bersama-sama memimpin perjuangan selama puluhan tahun ini. Bapak merupakan satu contoh yang patut diteladani, khasnya oleh angkatan baru. Sebagai penutup temu bual ini, apakah pesanan Bapak kepada angkatan baru?
Rashid Maidin: Sebagai orang tua, saya ada satu pesanan dan juga harapan kepada angkatan baru. Kemajuan negara, pembangunan negara dan masyarakat bersandar kepada angkatan baru. Hari depan juga milik angkatan baru. Tapi, sekarang, ada satu kecenderungan yang bahaya di dunia dan di negara kita, baik dalam politik, dalam masyarakat dan lain-lain – satu kecenderungan yang merosakkan angkatan baru. Misalnya, kebudayaan kuning, dadah, teori yang keliru dalam politik, pelbagai gerakan yang menyesatkan, gaya hidup yang individualistik, yang hanya mementingkan diri sendiri, dan sebagainya. Angkatan baru perlu nampak bahaya aliran ini dan harus menentangnya dengan tegas. Mereka patut menceburkan diri dalam gerakan yang sihat, yang berperanan membangunkan negara dan masyarakat, menegakkan demokrasi dan keadilan serta memupuk perpaduan antara kaum.
nota: wawancara ini dibuat oleh wartawan Suluh Rakyat pada tahun 1989
-- 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Belah mulut atau bertahnik Nureizatul Tasmira

Kenapa aku perlu ke sekolah?

Jom jengah tingkap Johari...